Saturday 26 November 2011

“PAKAI TUDUNG LABUH PUN BUKAN SEMUA BAIK...”


“Buat apa pakai tudung labuh kalau hati tak betul?”.
“Siapa kata orang tak pakai tudung labuh semua jahat?”.
“Ada seorang tu pakai tudung labuh, tapi perangai buruk, aku yang tak pakai tudung labuh ni pun boleh kawal diri dari perangai dan kelakuan macam tu”.

Ungkapan-ungkapan sumbang sebegini kerap menjadi alasan sebahagian wanita untuk tidak menutup aurat sepenuhnya sebagaimana yang telah disyari’atkan. Ada juga yang beralasan demikian untuk menangguhkan dahulu pemakaian yang menutup aurat sepenuhnya buat sementara waktu. Apabila dalaman sudah sempurna, dan hati sudah bersih, barulah sampai waktu untuk melakukan kewajipan lahiriah tersebut iaitu menutup aurat sepenuhnya.

Kalau alasan begini keluar dari mulut seorang muslimah disebabkan kejahilan, ia sudah cukup menunjukkan satu musibah terhadap dirinya. Kerana kewajipan menutup aurat adalah perkara asas dalam Islam, yang termasuk kategori ‘perkara yang dimaklumi dalam agama secara pasti’.

Tetapi jika seorang muslimah beralasan demikian kerana berhelah dalam kata-kata, sedangkan dia tahu dosa mendedahkan aurat, maka ini adalah musibah yang sangat besar. Bak kata pepatah Arab, “Jika engkau tidak tahu, ia satu musibah. Tetapi jika engkau tahu, maka musibahnya lebih besar”.

Mereka berhujah menggunakan akal, maka begitu jugalah hujah kita kepada mereka:

1- Kata mereka: tidak perlu menutup aurat dengan sepenuhnya kalau hati masih tidak betul. Tunggu iman sudah sempurna barulah tutup aurat sepenuhnya.


Kita katakan kepada mereka: Kita mengambil contoh undang-undang jalan raya. Setiap penunggang motosikal diwajibkan memakai topi keledar keselamatan. Peraturan ini hendaklah dipatuhi sama ada pengguna selesa memakai topi keledar atau tidak. Sama ada dia memakai secara ikhlas mematuhi peraturan atau kerana terpaksa.
Seorang pesalah yang berdepan dengan saman trafik kerana tidak memakai topi keledar, bolehkah dia memberi alasan dia tidak selesa memakainya? Atau pun dia masih tidak setulus hati memakainya? Kalau hatinya sudah ikhlas mematuhi peraturan kerajaan, dia akan memakainya satu hari nanti. Adakah boleh diterima alasan demikian?


(Begitu juga pemakaian yang menutup aurat sepenuhnya adalah satu undang-undang ketetapan Allah Ta’ala atas setiap mukallaf, tanpa mengambil kira tahap imannya. Tanpa mengira tahap keikhlasan dan ketulusan hatinya. Setiap orang yang bergelar muslim dan muslimah wajib menerimanya sama ada suka atau tidak, rela atau terpaksa. Hati bersih atau tidak, bukan alasan untuk meninggalkan kewajipan menutup aurat sebagaimana yang disyari’atkan).

2- Kata mereka: walaupun mereka mendedahkan aurat, tetapi mereka menjaga maruah mereka, tidak melakukan perkara yang tidak senonoh dan sebagainya.

Kita katakan kepada mereka: Sekali lagi kita mengambil contoh seorang penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar keselamatan, kononnya dia seorang yang cermat di jalan raya. Tidak menunggang laju, apatah lagi melanggar lampu merah. Pada perkiraannya tidak mungkin berlaku kemalangan. Adakah alasan demikian diterima untuk mengecualikannya daripada peraturan topi keledar keselamatan?
Tidak sekali-kali. Walaupun dia mendakwa bahawa dia cermat, adakah dia boleh menjamin pemandu-pemandu kenderaan lain juga sepertinya? Betapa ramai pengguna jalan raya terkorban bukan kerana kesalahan dirinya, tetapi akibat kecuaian pemandu lain di hadapan atau belakangnya.


(Begitu juga kalau ada wanita yang mendakwa bahawa hatinya suci, imannya tinggi, amalannya soleh dan maruahnya terjaga. Kononnya ia sudah cukup menjamin keselamatan diri dan maruahnya, tanpa perlu menutup aurat dengan sepenuhnya. Atau mendakwa bahawa mendedahkan aurat tidak akan menyebabkan dia melakukan maksiat lain.
Tetapi adakah dia berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat auratnya mempunyai hati sesuci hatinya dan iman setinggi imannya juga? Langsung tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan dan belakangnya?
Di sini perlu difahami bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sahaja, tetapi maslahat yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat dan tidak menutup aurat dengan sepenuhnya).

Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling anda.

Kesimpulannya, pemakaian menutup aurat sebagaimana yang disyari’atkan adalah WAJIB atas setiap muslim dan muslimah, tanpa mengira tahap iman dan ikhlasnya. Dan Kewajipan wanita menutup aurat dengan sepenuhnya bukan setakat bagi memelihara maruahnya, tetapi juga bagi menjaga kemaslahatan masyarakat sekelilingnya.

Edited by:
Ibnu Sabil  

Tuesday 22 November 2011

MARAH

 



Sifat marah adalah suatu sifat yang tetap ada pada diri seseorang, tetapi marah hendaklah kena pada tempatnya, bukan mengikut perasaan dan hawa nafsu.
Sifat marah adalah sifat syaitan yang berdasarkan hadis bahawa syaitan mempengaruhi manusia dengan sifat marah:
Sulaiman bin Shurd radhiallahu 'anh berkata:
 
كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلاَنِ يَسْتَبَّانِ
 
فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ.
 
فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنِّي لأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ
 
لَوْ قَالَ: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ.

Ketika aku sedang duduk bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dua orang sedang  bertengkar sehingga salah seorang dari mereka menjadi merah wajahnya dan urat-urat lehernya timbul keluar. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimah yang jika diucapkan nescaya kemarahannya akan hilang. Iaitu sebutlah “A’uzubillahi minash syaitan” nescaya kemarahannya akan hilang.                 ( Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3282 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).)

FAKTOR MARAH 

Aisyah r.a.: “Baginda (Rasulullah s.a.w.) tidak pernah merasa dendam kerana disakiti (hatinya) lalu membalas kepada orang yang menyakitinya kecuali jika hal itu merupakan pelanggaran terhadap larangan Allah (di mana) Rasulullah s.a.w. akan membalas kerana Allah ‘Azza wa Jalla semata-mata.” [Shahih Muslim, no: 2328]
 
Berdasarkan hadis di atas, kita patut marah apabila agama Islam yang suci ini disindir dan dinodai oleh orang lain. Akan tetapi di sebalik kemarahan tersebut, hendaklah kita pastikan ia membawa kesan yang positif kepada Islam dan umatnya. Jangan pula kemarahan kita turut menyebabkan kesan yang negatif.
 
Terdapat dua faktor di sebalik kemarahan:
     *Pertama ialah faktor peribadi, seperti orang yang marah kerana kedudukannya tidak dihormati atau kerana barangnya telah dirosakkan. Ini adalah marah yang tercela dan perlu dihindarkan. Kenapa kita marah? mungkin kerana pendapat kita tidak diterima oleh orang lain, pendapat kita tidak sama dengan orang lain, ataupun orang lain tidak memenuhi kehendak kita dan sebagainya. Adakah kita diajar untuk marah?? 
 Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengalami suasana seumpama di atas yang boleh menyebabkan baginda marah. Akan tetapi sebagaimana yang diterangkan oleh isteri baginda: “(Rasulullah s.a.w.) tidak pernah merasa dendam kerana disakiti (hatinya) lalu membalas kepada orang yang menyakitinya.”    
 
          Ada hikmah mengapa Rasulullah s.a.w. bertindak sedemikian. Baginda ingin mengajar kita bahawa marah kerana faktor peribadi adalah sesuatu yang tercela kerana ia lazim timbul kerana perasaan tinggi diri yang ada dalam diri seseorang. Tidaklah seseorang itu akan marah jika pendapatnya tidak diterima melainkan sejak awal dia merasakan pendapatnya sahajalah yang terbaik. Tidaklah seseorang itu akan marah jika kedudukannya tidak dihormati melainkan sejak dini dia merasa ujub dengan kedudukannya itu. Tidaklah seseorang itu akan marah jika barangnya dicuri melainkan sejak saat pertama dia merasakan semua itu adalah miliknya dan bukan sesuatu yang dipinjamkan oleh Allah kepadanya.
 
          Antara cara terbaik untuk mencegah marah kerana faktor peribadi ialah melazimkan diri dengan sikap memaafkan dan rendah diri. Jangan pula kita menyangka kedua-dua sikap ini akan menjadikan kita orang yang lemah dan kalah. Rasulullah s.a.w. berjanji: “Tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat kemaafannya melainkan kemuliaan dan tidaklah seseorang bersifat rendah diri kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya.” [Shahih Muslim, no: 2588]
 

     *Kedua ialah faktor agama, seperti seorang muslim yang merasa marah kerana ajaran agamanya dirosakkan oleh muslim yang lain atau marah apabila umat Islam dizalimi oleh kaum lain. 
          Satu ketika yang lalu terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israil, salah seorang daripadanya lazim berbuat dosa manakala yang lain bersungguh-sungguh dalam beribadah. Saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah sering memandang saudaranya yang lain berbuat dosa, lalu dia berkata: “Berhentilah!”.
 
          Pada satu hari dia mendapati saudaranya masih melakukan dosa lalu dia berkata: “Berhentilah!” Namun saudaranya menjawab: “Biarkan aku! Demi Tuhanku! Apakah engkau diutus untuk mengawasi aku?” Lalu saudara (yang bersungguh-sungguh dalam ibadah) berkata: “Demi Allah! Allah tidak akan mengampunkan engkau atau Allah tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga.”
 
         Maka (beberapa ketika kemudian) ruh kedua-duanya dicabut dan mereka dihadapkan kepada (Allah) Tuhan sekalian alam. Lalu (Allah) bertanya kepada saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah: “Apakah engkau mengetahui tentang Aku atau apakah engkau berkuasa atas apa yang berada di tangan-Ku?”
Dan (Allah) berkata kepada saudara yang lazim berbuat dosa: “Pergilah masuk ke syurga dengan Rahmat-Ku.” Dan (Allah) berkata kepada (saudara yang bersungguh-sungguh dalam ibadah): “Bawalah orang ini ke neraka.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 4901]
 
          Dalam hadis sahih di atas, saudara yang bersungguh-sungguh dalam beribadah marah kepada saudaranya yang asyik melakukan kemaksiatan. Dia marah kerana agama. Akan tetapi kemarahannya itu menyebabkan dia mengeluarkan kata-kata yang sebenarnya merupakan hak Allah. Kemarahannya itu akhirnya membawa kesan yang negatif kepada dirinya sendiri.
 
          Ketika Nabi Musa a.s. pergi ke bukit Thur untuk mendapat kepingan-kepingan Taurat, dia mewakilkan saudaranya Harun untuk menjaga kaumnya. Akan tetapi dalam tempoh tersebut kaumnya telah membuat sebuah patung anak lembu yang mereka sembah sebagai tuhan selain Allah. Tatkala Nabi Musa kembali dan melihatkan apa yang berlaku, dia menjadi amat marah, lantas memarahi Harun. Harun menjawab, sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Qur’an:
          “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka menyembah patung anak lembu itu). Oleh itu janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (kemarahan kamu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.” [Surah al-A’raaf, ayat 150]
 
          Dalam ayat di atas, Nabi Musa marah kepada Harun kerana menyangka Harun tidak melakukan apa-apa untuk mencegah kaumnya daripada menyembah patung anak lembu. Nabi Musa marah kerana agama. Akan tetapi Harun, di samping membela dirinya, turut memperingatkan Nabi Musa bahawa kemarahannya itu akan menggembirakan lagi kaumnya yang berbuat salah itu. Jika kemarahan itu diteruskan, ia akan membawa kesan negatif kepada dakwah mereka berdua terhadap kaum Bani Israil.
 
          Demikian dua contoh daripada dua kisah benar tentang bagaimana marah kerana agama boleh membawa kesan yang negatif jika ia tidak dilancarkan dengan betul. Pengajaran penting yang ingin saya sampaikan adalah, semata-mata marah kerana agama tidak mencukupi. Hendaklah kemarahan itu kita terjemahkan kepada sesuatu yang memberi kesan positif kepada agama dan umat.

(sumber: HafizFirdaus.com)